ILMU

Ilmu yang tidak diamal seperti pokok yang mati.

DISIPLIN

Membentuk kejayaan yang lebih bermakna

KEJAYAAN

Pasti didakap dengan usaha, doa dan tawakkal yang jitu. Be the One!
 

Tuesday, January 11, 2011

Penguasaan 3M

PENGAJARAN menerusi lagu atau alat muzik sesuai untuk murid Orang Asli.
Laksana pelbagai kaedah P&P ikut kategori murid

IKUTI pandangan Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Dr Saedah Siraj, mengenai keperluan kaedah pengajaran dan pembelajaran berbeza bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Khairina Yasin.

KEGAGALAN atau ketidakupayaan sebahagian murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas 3M adalah antara cabaran getir dunia pendidikan hari ini.

Biarpun sukar mengenal pasti angka sebenar murid dikategorikan bermasalah itu setakat ini, ramai pakar pendidikan bimbang implikasinya yang mungkin boleh menyebabkan mereka hilang minat ke sekolah.

Jika kelemahan murid menguasai 3M ini tidak diatasi sejak Tahun Satu, masalah itu akan berlarutan apabila mereka memasuki Tahun Dua dan seterusnya.

Di manakah silap atau apakah kekurangannya? Dalam memperbetulkan keadaan, tidak dinafikan banyak usaha dilaksanakan Kementerian Pelajaran bagi menangani masalah penguasaan 3M ini di kalangan murid.

KAEDAH P&P berbeza perlu meningkatkan penguasaan 3M di kalangan murid.
Antaranya mengadakan kelas pemulihan, kelas khas untuk kanak-kanak istimewa, latihan guru berpendidikan khas, perluasan kempen membaca dan penempatan kaunselor di setiap sekolah.

Namun, keberkesanan pelaksanaannya tidak menyeluruh dan belum mampu memberi perubahan besar terhadap perkembangan penguasaan kemahiran 3M di kalangan murid terbabit.

Dalam sesetengah keadaan, kurangnya komitmen pengurusan sekolah antara penyebab pendidikan murid tergolong dalam kategori ini, gagal mencapai matlamatnya.

Menyisihkan murid terbabit daripada mengikuti pendidikan seperti rakan lain hanya akan menyulitkan langkah mengatasi masalah mereka kemudian hari.

Ada juga yang menegaskan kepentingan peranan ibu bapa dalam membantu anak menguasai kemahiran asas berkenaan, namun ia tetap tidak membebaskan guru daripada membantu murid yang lemah itu.

Berdasarkan kajian sebelum ini, keperluan langkah penyaringan dan pengesanan awal murid yang belum menguasai 3M penting bagi mengenal pasti pelaksanaan program pemulihan bersesuaian dengan mereka.

Langkah awal itu membolehkan murid dikelompokkan berdasarkan punca sebenar kelemahan mereka menguasai 3M sama ada akibat persekitaran, pemakanan atau kesihatan.

Pemerhatian mendapati murid lemah 3M boleh dikelompokkan lima kategori, iaitu anak Orang Asli, kanak-kanak istimewa atau pendidikan khas, murid menghadapi masalah psikologi, kanak-kanak terbiar dan mereka yang sememangnya berketurunan tidak boleh membaca atau dungu.

Setiap kelompok murid terbabit memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) berbeza bagi memastikan kelemahan pembelajaran mereka dapat diatasi secara berperingkat.

Pencarian kaedah P&P mengikut kelompok perlu ditekankan Kementerian Pelajaran kerana jika dilaksanakan secara tunggal, ia tidak boleh diguna atau diaplikasikan kepada semua murid yang gagal menguasai 3M.

Keadaan ini wajar dikaji semula di peringkat akar umbi dengan merujuk faktor mempengaruhi masalah penguasaan 3M dalam setiap kelompok murid terbabit sebelum menentukan kaedah P&P yang tepat dan bersesuaian.

Dalam kes anak Orang Asli contohnya, kesukaran memberi fokus kepada apa yang diajar menyebabkan mereka gagal menguasai 3M.

Hubungan antara pemikiran dengan pergerakan mata agak lambat berikutan wujudnya gangguan yang menjejaskan fokus mereka terhadap pembelajaran.

Bagi menanganinya, penggunaan alat muzik dalam proses P&P disifatkan antara kaedah sesuai untuk meningkatkan penguasaan kemahiran asas itu di kalangan anak Orang Asli.

Ini kerana mereka amat peka terhadap deria pendengaran. Oleh itu, alat muzik adalah perantara sesuai diguna pakai guru bagi menarik tumpuan kelompok murid masyarakat minoriti itu terhadap pengajaran guru.

Malah, banyak kajian luar negara membuktikan penggunaan alat muzik mengikut etnik atau budaya berjaya membangunkan kemahiran 3M di kalangan murid sekolah.

Bagi kes murid istimewa atau pendidikan khas, kepekaan ibu bapa terhadap proses pengembangan anak dituntut bagi membolehkan kelemahan mereka dikesan sejak awal.

Murid disleksia antara kelompok murid yang gagal menguasai 3M, namun disebabkan pengetahuan ibu bapa yang rendah mengenai penyakit itu menyebabkan masalah berkenaan tidak dipandang serius.

Malah, ramai ibu bapa termasuk golongan profesional cuba menafikan anak mereka berdepan masalah berkenaan hingga merasakan tidak perlu dibantu.

Murid disleksia melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza terutama berkaitan pembelajaran. Sebagai contoh, mereka tidak dapat diajar abjad dengan cepat kerana ada huruf yang akan ditinggalkan disebabkan pemikiran tidak dapat 'membaca' huruf berkenaan.

Dalam usaha menangani masalah ini, kaedah P&P haruslah lebih khusus dan perlu dipraktikkan guru yang mahir mengenainya.

Selain guru dan murid, keberkesanan program pemulihan ini memerlukan kerjasama dan penggemblengan tenaga semua pihak, termasuk sekolah dan ibu bapa.

Apa yang penting, pelaksanaan tindakan progresif menangani masalah penguasaan 3M di kalangan murid ini sepatutnya sejak awal lagi, bukan pada peringkat mereka sudah terlalu jauh tercicir.

sumber : maklumat Berita Harian

Monday, January 03, 2011

33 Ciri Pelajar Cemerlang

Ciri-ciri pelajar cemerlang seperti berikut:

1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri.

2. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

3. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.

4. Membuat persediaan awal dalam menghadapi sebarang peperiksaan.

5. Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah atau pihak kementerian.

6. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi.

7. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah

8. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu.

9. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas.

10. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar.

11. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran.

12. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari.

13. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan.

14. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.

15. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.

16. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan.

17. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.

18. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran.

19. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

20. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

21. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.

22. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.

23. Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.

24. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.

25. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat akan melahirkan pemikiran yang lancar.

26. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.

27. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar.

28. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.

29. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.

30. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

31. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.

32. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.

33. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

Sunday, January 02, 2011

Tuisyen Bermula

Makluman penting, berikut adalah jadual permulaan kelas tuisyen bagi semua pelajar bagi sesi 2011.
1) Darjah 1 hingga 6: Bermula 8 Jan 2011 (Sabtu)
* Darjah 6 dibuka pada hari Sabtu & Ahad dahulu. Kelas hari biasa akan dibuka kemudian.

2) Tingkatan 1 hingga 3: bermula 10 Jan 2011 ( Isnin)

3) Tingkatan 4: bermula 1 Feb 2011 (Selasa)

5) Tingkatan 5: Bermula 10 Jan 2011 (Isnin)

Terima kasih.

Cabar

Jaguh tulen sentiasa mencabar dirinya sendiri untuk menang.

Kawan

Teman yang baik akan menjayakan temannya.

Peluang

Peluang yang baik hanya sekali, jangan sia-siakan.